Monday, February 29, 2016

Asal usul pontian Johor dan Kukup

ASAL USUL NAMA PONTIAN

Perkataan Pontian dikatakan berasal dari kata ‘Perhentian’, iaitu Sungai Pontian Besar. Ia adalah tempat berteduh dari gelora Selat Melaka bagi kebanyakan para pelayar yang hendak ke Singapura atau ke Melaka. Ada yang menyebutnya sebagai tempat perhentian para lanun untuk menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut.

Pontian,mempunyai keunikan tersendiri kerana di sini terdapat dua buah pulau iaitu Pulau Kukup dan Pulau Pisang. Antara kawasan penempatan di sini ialah Bandar Permas, Kampung Sungai Kuali, Kampung Sungai Durian, Kampung Serkat Barat dan Kampung Permas Kechil. Mukim Kukup pula terletak di selatan, berhampiran Pontian Kecil dan Tanjung Piai.
Sebuah jeti dan pangkalan nelayan menjadikan Kukup sebuah penempatan yang sibuk. Feri yang berlepas dari jeti Kukup menjadi pengangkutan utama bagi menghubungkan Pulau Karimun dan beberapa kawasan lain di Indonesia. Rakyat atau pekerja asing dari Indonesia menjadikan jeti di sini untuk berulang-alik ke negara mereka. Feri ini juga membawa pelancong yang ingin melawat Pulau Karimun.

Kukup memang sesuai dijadikan jeti dan pangkalan nelayan kerana Pulau Kukup menjadi benteng yang melindunginya daripada angin kencang. Penduduk Kukup kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dan ada juga yang bekerja di ladang kelapa sawit. Kaum Cina pula terlibat dalam bidang perniagaan, pelancongan dan pengangkutan.

Jeti Pontian Besar sekarang berasal dari nama "Perhentian"



Kukup menyimpan cerita rahsia tersendiri. Asal nama “kukup” diperoleh daripada perkataan “terlungkup”. Perkataan ini muncul apabila banyak perahu nelayan di sini ditelungkupkan oleh lanun yang aktif menjalankan aktiviti jahat mereka di perairan Selat Melaka. Ada juga yang mengatakan “kukup” berasal daripada rasa “gugup” penduduk tempatan akibat serangan lanun.

Pulau Kukup pula terletak di perairan Barat Daya Johor, iaitu antara Selat Kukup dengan Selat Melaka dan dipenuhi pokok bakau. Pokok bakau memberi perlindungan dan makanan kepada ikan, ketam, udang, dan binatang-binatang lain. Pembiakan ikan di perairan paya bakau penting bagi kelangsungan hidup nelayan tempatan. Hutan bakau juga menjadi kawasan perhentian burung-burung yang berhijrah untuk makan dan berehat. Pulau Kukup berkeluasan 1447 hektar dengan kawasan hutan bakau seluas 647 hektar, manakala kawasan tanah berlumpur seluas 800 hektar.

Pandangan pekan Kukup dari laut lepas

Jeti Kukup menawarkan perkhidmatan feri ke Pulau Karimun Indonesia

Peta Taman Negara Pulau Kukup


Pulau Kukup diwartakan sebagai Taman Negara Johor pada 27 Mac 1997 dan mula dibuka kepada pelawat pada bulan Julai 2003. Dianggarkan, sekitar 30 ribu pelancong melawat pulau ini setiap tahun, termasuk pelancong luar negara. Kadar bayaran masuk ke Taman Negara Pulau Kukup adalah RM5 bagi pelancong dewasa dan RM3 untuk pelajar dan kanak-kanak. Pelancong luar negara dikenakan bayaran sebanyak RM10 (dewasa) dan RM5 bagi pelajar dan kanak-kanak.

Kukup juga dicatatkan sebagai “pulau berhutan paya bakau yang tidak berpenghuni yang kedua terbesar di dunia”. Pulau yang sama yang terbesar di dunia ialah Pulau Belerong yang terdapat di negara Brunei Darussalam.

Jambatan gantung di Taman Negara Pulau Kukup


Laluan pejalan kaki yang selesa

Pohon bakau di Taman Negara Pulau Kukup

Pengunjung boleh membawa seisi keluarga di sini

Menurut catatan sejarah, pada tahun 1873 terdapat 13 penempatan di Johor yang dijaga oleh Residen. Ketika itu, pentadbiran di negeri Johor mengamalkan sistem Residen, Pesuruhjaya, Pegawai Daerah dan Penghulu. Pulau-pulau di Selat Melaka seperti Pulau Kukup dan Pulau Pisang dikawal oleh Residen.

Pulau Kukup diiktiraf sebagai tapak RAMSAR (Kawasan Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa) oleh Biro Konvensyen RAMSAR di Geneva, Switzerland pada 31 Januari 2003. Malaysia menganggotai RAMSAR pada tahun 1994. Tasek Bera di Negeri Pahang telah diisytiharkan sebagai tapak RAMSAR pertama negara ini pada tahun tersebut. Sehingga kini, antara kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Tapak Ramsar ialah Sungai Pulai, Tanjung Piai dan Pulau Kukup di Johor dan Kuching Wetland National Park di Sarawak. Terdapat 26 kawasan lain di seluruh Malaysia turut dikenal pasti sebagai kawasan tanah lembap yang mempunyai kepentingan antarabangsa.

Kelong ikan di sekitar Kukup untuk penggemar pemancing

Pandangan kelong dari laut lepas



Selain itu, monyet, bangau dan ikan belacak pun menjadi tarikan pengunjung. Dapat juga diperhatikan keadaan tanah yang kelihatan seperti busut atau bukit yang dibina oleh ketam sebagai tempat perlindungan. Busut ini juga menjadi sasaran makanan bagi babi hutan.

Menurut pegawai taman ini, seekor ular sawa sepanjang enam meter pernah dilihat sedang menelan seekor babi hutan beberapa tahun yang lalu. Namun kini, haiwan yang paling besar terdapat di Pulau Kukup ialah babi hutan.

Di penghujung perjalanan, terdapat sebuah menara pemerhati setinggi 30 meter yang membolehkan pelancong melihat pelbagai spesies burung yang berterbangan di puncak pokok bakau dan ruang angkasa Pulau Kukup. Pada musim tertentu banyak burung hijrah yang singgah di sini. Burung hijrah biasanya singgah di beberapa kawasan tertentu, termasuk Pulau Kukup, ketika berpindah ribuan kilometer dari kawasan sejuk ke kawasan panas.



Burung Botak (Leptotilos Javanicus) yang menjadi ikon bagi Pulau Kukup juga dapat dilihat dari puncak menara ini. Burung ini merupakan antara spesies yang semakin pupus di dunia dan gemar memilih pokok yang tingginya lebih 30 meter untuk bersarang.

Petugas taman juga berperanan sebagai pemandu pelancong. Mereka akan membawa pelancong sambil memberikan maklumat tentang Pulau Kukup. Mereka juga mengadakan program penyelidikan dan pendidikan alam untuk para pelajar. Bagi program konservasi, pihak taman mengadakan kerjasama dengan sukarelawan bagi menanam pokok bakau. Terdapat satu kawasan yang dijadikan kawasan semaian anak bakau. Anak bakau ini kemudiannya akan dipindahkan ke kawasan yang dipilih. Program konservasi ini juga mendapat kerjasama Tabung Alam Sedunia (World Wide Fund for Nature atau WWF). Penyelidikan tentang ikan belacak juga dijalankan di sini.

Sangat mudah untuk sampai ke sini. Jika perjalanan anda melalui Lebuh Raya Utara-Selatan, susur keluar ke Simpang Renggam menuju ke Benut. Teruskan perjalanan ke Pontian, kemudian ke Kukup.

Pulau Kukup antara khazanah negara yang tidak ternilai harganya. Pulau yang cantik ini perlu terus dipelihara dan dijaga sebaik mungkin demi memastikan habitat yang terdapat di sini dapat hidup tanpa gangguan dan kelangsungan hayat flora, fauna serta taman negara sendiri dapat dihayati oleh generasi akan datang.