ASAL USUL NAMA PONTIAN
Perkataan Pontian dikatakan berasal dari kata ‘Perhentian’, iaitu
Sungai Pontian Besar. Ia adalah tempat berteduh dari gelora Selat Melaka
bagi kebanyakan para pelayar yang hendak ke Singapura atau ke Melaka.
Ada yang menyebutnya sebagai tempat perhentian para lanun untuk menunggu
mangsa yang melintasi kawasan tersebut.
Pontian,mempunyai keunikan tersendiri kerana di sini terdapat dua
buah pulau iaitu Pulau Kukup dan Pulau Pisang. Antara kawasan penempatan
di sini ialah Bandar Permas, Kampung Sungai Kuali, Kampung Sungai
Durian, Kampung Serkat Barat dan Kampung Permas Kechil. Mukim Kukup pula
terletak di selatan, berhampiran Pontian Kecil dan Tanjung Piai.
Sebuah jeti dan pangkalan nelayan menjadikan Kukup sebuah penempatan
yang sibuk. Feri yang berlepas dari jeti Kukup menjadi pengangkutan
utama bagi menghubungkan Pulau Karimun dan beberapa kawasan lain di
Indonesia. Rakyat atau pekerja asing dari Indonesia menjadikan jeti di
sini untuk berulang-alik ke negara mereka. Feri ini juga membawa
pelancong yang ingin melawat Pulau Karimun.
Kukup memang sesuai dijadikan jeti dan pangkalan nelayan kerana Pulau
Kukup menjadi benteng yang melindunginya daripada angin kencang.
Penduduk Kukup kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dan ada juga yang
bekerja di ladang kelapa sawit. Kaum Cina pula terlibat dalam bidang
perniagaan, pelancongan dan pengangkutan.
![]() | |||||||
| Jeti Pontian Besar sekarang berasal dari nama "Perhentian" |
Kukup menyimpan cerita rahsia tersendiri. Asal nama “kukup” diperoleh
daripada perkataan “terlungkup”. Perkataan ini muncul apabila banyak
perahu nelayan di sini ditelungkupkan oleh lanun yang aktif menjalankan
aktiviti jahat mereka di perairan Selat Melaka. Ada juga yang mengatakan
“kukup” berasal daripada rasa “gugup” penduduk tempatan akibat serangan
lanun.
Pulau Kukup pula terletak di perairan Barat Daya Johor, iaitu antara
Selat Kukup dengan Selat Melaka dan dipenuhi pokok bakau. Pokok bakau
memberi perlindungan dan makanan kepada ikan, ketam, udang, dan
binatang-binatang lain. Pembiakan ikan di perairan paya bakau penting
bagi kelangsungan hidup nelayan tempatan. Hutan bakau juga menjadi
kawasan perhentian burung-burung yang berhijrah untuk makan dan berehat.
Pulau Kukup berkeluasan 1447 hektar dengan kawasan hutan bakau seluas
647 hektar, manakala kawasan tanah berlumpur seluas 800 hektar.
![]() |
| Pandangan pekan Kukup dari laut lepas |
![]() |
| Jeti Kukup menawarkan perkhidmatan feri ke Pulau Karimun Indonesia |
![]() |
| Peta Taman Negara Pulau Kukup |
Pulau Kukup diwartakan sebagai Taman Negara Johor pada 27 Mac 1997
dan mula dibuka kepada pelawat pada bulan Julai 2003. Dianggarkan,
sekitar 30 ribu pelancong melawat pulau ini setiap tahun, termasuk
pelancong luar negara. Kadar bayaran masuk ke Taman Negara Pulau Kukup
adalah RM5 bagi pelancong dewasa dan RM3 untuk pelajar dan kanak-kanak.
Pelancong luar negara dikenakan bayaran sebanyak RM10 (dewasa) dan RM5
bagi pelajar dan kanak-kanak.
Kukup juga dicatatkan sebagai “pulau berhutan paya bakau yang tidak
berpenghuni yang kedua terbesar di dunia”. Pulau yang sama yang terbesar
di dunia ialah Pulau Belerong yang terdapat di negara Brunei
Darussalam.
![]() |
| Jambatan gantung di Taman Negara Pulau Kukup |
![]() |
| Laluan pejalan kaki yang selesa |
![]() |
| Pohon bakau di Taman Negara Pulau Kukup |
![]() |
| Pengunjung boleh membawa seisi keluarga di sini |
Menurut catatan sejarah, pada tahun 1873 terdapat 13 penempatan di
Johor yang dijaga oleh Residen. Ketika itu, pentadbiran di negeri Johor
mengamalkan sistem Residen, Pesuruhjaya, Pegawai Daerah dan Penghulu.
Pulau-pulau di Selat Melaka seperti Pulau Kukup dan Pulau Pisang dikawal
oleh Residen.
Pulau Kukup diiktiraf sebagai tapak RAMSAR (Kawasan Tanah Lembap
Berkepentingan Antarabangsa) oleh Biro Konvensyen RAMSAR di Geneva,
Switzerland pada 31 Januari 2003. Malaysia menganggotai RAMSAR pada
tahun 1994. Tasek Bera di Negeri Pahang telah diisytiharkan sebagai
tapak RAMSAR pertama negara ini pada tahun tersebut. Sehingga kini,
antara kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Tapak Ramsar ialah
Sungai Pulai, Tanjung Piai dan Pulau Kukup di Johor dan Kuching Wetland
National Park di Sarawak. Terdapat 26 kawasan lain di seluruh Malaysia
turut dikenal pasti sebagai kawasan tanah lembap yang mempunyai
kepentingan antarabangsa.
![]() |
| Kelong ikan di sekitar Kukup untuk penggemar pemancing |
![]() |
| Pandangan kelong dari laut lepas |
Selain itu, monyet, bangau dan ikan belacak pun menjadi tarikan
pengunjung. Dapat juga diperhatikan keadaan tanah yang kelihatan seperti
busut atau bukit yang dibina oleh ketam sebagai tempat perlindungan.
Busut ini juga menjadi sasaran makanan bagi babi hutan.
Menurut pegawai taman ini, seekor ular sawa sepanjang enam meter
pernah dilihat sedang menelan seekor babi hutan beberapa tahun yang
lalu. Namun kini, haiwan yang paling besar terdapat di Pulau Kukup ialah
babi hutan.
Di penghujung perjalanan, terdapat sebuah menara pemerhati setinggi 30 meter yang membolehkan pelancong melihat pelbagai spesies burung yang berterbangan di puncak pokok bakau dan ruang angkasa Pulau Kukup. Pada musim tertentu banyak burung hijrah yang singgah di sini. Burung hijrah biasanya singgah di beberapa kawasan tertentu, termasuk Pulau Kukup, ketika berpindah ribuan kilometer dari kawasan sejuk ke kawasan panas.

Burung Botak (Leptotilos Javanicus) yang menjadi ikon bagi Pulau Kukup juga dapat dilihat dari puncak menara ini. Burung ini merupakan antara spesies yang semakin pupus di dunia dan gemar memilih pokok yang tingginya lebih 30 meter untuk bersarang.
Petugas taman juga berperanan sebagai pemandu pelancong. Mereka akan membawa pelancong sambil memberikan maklumat tentang Pulau Kukup. Mereka juga mengadakan program penyelidikan dan pendidikan alam untuk para pelajar. Bagi program konservasi, pihak taman mengadakan kerjasama dengan sukarelawan bagi menanam pokok bakau. Terdapat satu kawasan yang dijadikan kawasan semaian anak bakau. Anak bakau ini kemudiannya akan dipindahkan ke kawasan yang dipilih. Program konservasi ini juga mendapat kerjasama Tabung Alam Sedunia (World Wide Fund for Nature atau WWF). Penyelidikan tentang ikan belacak juga dijalankan di sini.
Sangat mudah untuk sampai ke sini. Jika perjalanan anda melalui Lebuh Raya Utara-Selatan, susur keluar ke Simpang Renggam menuju ke Benut. Teruskan perjalanan ke Pontian, kemudian ke Kukup.
Pulau Kukup antara khazanah negara yang tidak ternilai harganya. Pulau yang cantik ini perlu terus dipelihara dan dijaga sebaik mungkin demi memastikan habitat yang terdapat di sini dapat hidup tanpa gangguan dan kelangsungan hayat flora, fauna serta taman negara sendiri dapat dihayati oleh generasi akan datang.










